(Teks ucapan sempena Mesyuarat Agung PAS kawasan Parit)
ALU-ALUAN
Yang dihormati Tuan Haji Asmuni bin Awi Ketua Jabatan Pilihanraya Badan Perhubungan PAS Perak, Pengerusi Tetap, Timbalan Yang Dipertua, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Parit, ketua-ketua cawangan, Ahli-ahli Jawatankuasa di semua peringkat, Ahli Jawatankuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, seluruh para perwakilan, pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.
Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum, selamat datang dan selamat bermuktamar diucapkan kepada semua para perwakilan dan tetamu yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Parit. Marilah sama-sama kita memanjatkan doa kepada Allah SWT agar pertemuan kita ini diberkati dan dirahmatinya. Semoga kehadiran kita semua dikira sebagai amalan kebajikan dan menjadi penaik semangat untuk kita meneruskan perjuangan.
Kita memulakan perjuangan ini di atas landasan yang benar dengan sejarah tersendiri. PAS ditubuhkan oleh kumpulan Islam yang bertali arus di sepanjang zaman, melibatkan para ulama’, para ilmuwan dalam segala bidang dan rakyat, bagi melangsungkan perjuangan Islam yang tidak tamat dengan wafatnya Rasulullah SAW. Inilah yang kita sentiasa pertegaskan, bahawa PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bercirikan tarbiyah dan dakwah, yang mempunyai perkiraan dengan ibadah dan amanah dari Allah SWT.
Kita percaya bahawa penglibatan kita dengan PAS adalah bagi mengisi hidup kita dengan amal yang soleh, penuh kebajikan yang berpanjangan dan mengharapkan keampunan Allah dan pertolongan-Nya, kerana menyahut seruan Allah SWT dan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan al-salaf al-soleh, yang dinyatakan oleh firman Allah :
Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (di dunia). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Ayat ini menerangkan kepentingan kita berada di dalam Jemaah untuk meneruskan perjuangan yang dahulunya dipimpin oleh para Nabi dan Rasul ‘Alaihimussalam, perjuangan yang pasti akan berterusan untuk menegakkan kalimah Allah SWT di dalam diri dan masyarakat dan memastikan Islam menjadi panduan dan rujukan utama kepada dunia amnya, dan di Malaysia ini khususnya.
CIRI-CIRI HIZBULLAH
Marilah sama-sama kita menghayati Firman Allah SWT di dalam kitab suci Al-Quran yang menerangkan ciri-ciri ahli jama’ah yang mempunyai sifat-sifat Hizbullah. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :
Maksudnya
Wahai mereka yang beriman, siapa di kalangan kamu yang berpaling tadah dari agama-Nya (murtad), maka Allah akan datangkan pula satu kaum yang Allah kasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, bersifat lemah-lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang kafir. Mereka berjuang bersungguh-sungguh di jalan Allah dan mereka tidak takut akan celaan orang-orang yang mencela, yang demikian itu limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, kerana Allah itu mempunyai kurniaan yang luas meliputi ilmu-Nya.
Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang beriman itu sebagai penolongnya (maka akan capailah kemenangan) kerana sesungguhnya golongan Allah (Hizbullah) itulah yang tetap menang. (Surah al-Maaidah : Ayat 54 – 56)
Allah Ta’ala menegaskan di dalam ayat di atas bahawa sesungguhnya perjuangan menegakkan Islam tidak pernah berhajat kepada petugas-petugasnya. Sebaliknya kitalah yang memerlukan perjuangan ini, kerana jika kita berpaling atau tidak mahu meneruskan perjuangan, malah jika kita tidak bersungguh-sungguh menjalankan kewajipan kita sebagai petugas Jemaah yang membawa mesej Islam, sudah pasti Allah Ta’ala akan menggantikan kita dengan orang lain yang sifatnya diterangkan dalam ayat di atas.
Mereka yang dipilih oleh Allah Ta’ala untuk berada di dalam perjuangan menegakkan kalimahNya ini juga memiliki sifat yang lemah lembut terhadap sesama muslim, tetapi dalam masa yang sama mengamalkan ketegasan terhadap golongan yang kufur. Mengasihi saudara seagama bermakna menginginkan baginya kebaikan dan sentiasa hidup berlandaskan syariat. Begitu juga ketegasan terhadap orang-orang kafir, tidaklah bermakna kita menafikan hak mereka sebagai manusia. Ayat ini juga menjelaskan kepada kita bahawa sandaran utama kelembutan dan kasih sayang ialah kepatuhan kepada Allah. Meskipun seseorang itu mengaku Islam, tetapi dia adalah musuh sekiranya kufur kepada Allah. Diriwayatkan oleh Anas Bin Malik R.A. bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
Seseorang itu akan mengecapi kemanisan iman, sekiranya dia melakukan tiga perkara; mencintai Allah dan Rasul melebihi segala-galanya, mencintai seseorang kerana Allah dan Rasul, dan benci kepada kekufuran seperti bencinya dia dicampakkan ke dalam api neraka.(HR Bukhari dan Muslim)
Selain itu, mereka yang digelar Hizbullah (tentera Allah) juga memiliki semangat jihad dan mujahadah yang sangat tinggi. Mereka berperang dan berjihad di jalan Allah, kerana dan ke arahNYa. Menerangkan bahawa pekerjaan utama para tentera Allah ialah Jihad FisabiliLlah. Tiada yang lebih menggembirakan mereka selain daripada mati syahid di jalanNya. Sikap seperti ini menjadikan mereka kalis celaan dan fitnah. Cercaan orang-orang yang memusuhi Allah dan RasulNya dianggap remeh dan sama sekali tidak memberikan kesan kepada jiwa dan pemikiran mereka, malah tidak sedikitpun menjejaskan prestasi gerak kerja.
Mereka yang dikatakan sebagai Hizbullah ini juga, menjadikan Allah dan RasulNya sebagai penolong dan sandaran utama dalam kehidupan mereka. Mereka tidak bergantung kepada yang selain daripadaNya, juga mereka akan dibantu oleh orang-orang yang beriman yang bersama dengan mereka. Maka Allah Ta’ala memberikan jaminan akan tetap memenangkan para tentera Allah yang memiliki ciri-ciri HizbuLlah ini.
BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN
Muktamar kali ini diadakan dalam keadaan kita bakal berdepan dengan pilihanraya Umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Pilihanraya ini bakal menjadi medan juang yang sangat getir, bahkan kita pada ketika ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang pastinya akan semakin bertambah dalam menuju ke pilihanraya yang semakin dekat ini. Maka tema, “Bertekad Mencapai Kemenangan” dipilih untuk menjadi alas dan latar belakang utama kepada Mesyuarat Agong Kawasan Parit pada kali ini.
Konsep Kemenangan
Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat setiap perjuangan sama ada perjuangan untuk dunia mahupun akhirat. Tidak kira perjuangan itu hak(benar) atau batil(salah), masing-masing meletakkan kemenangan sebagai matlamat akhir perjuangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai pandangan yang berbeza mengenai konsep kemenangan ini. Firman Allah:
Maksudnya
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa DIA akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana DIA telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan DIA akan menguat dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan DIA juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. (Surah An-Nur, 24 : 55)
Kemenangan itu adalah janji daripada Allah untuk mereka yang beriman. Bahawa Allah Ta’ala tetap akan memberikan bantuan dan pertolongan untuk memenangkan Islam dan mereka yang tetap teguh bersama dengan Islam. Berdasarkan keterangan ayat, tiga bentuk kemenangan Al-Nasr yang dijanjikan Allah itu adalah:
- Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memeang tampuk pimpinan.
- Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya system dan cara hidup untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.
- Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.
Kita sentiasa yakin dan percaya bahawa Islam dan cara hidup yang dibawakan oleh RasuluLlah adalah sentiasa relevan untuk masa kini. Bahkan kita sangat percaya dan beriman bahawa masa depan dunia ini terletak pada Islam. Mereka yang ingin selamat dan menang di dunia mestilah sentiasa bersama dengan Islam, lebih-lebih lagi jika ingin selamat di akhirat.
Asy-Syahid Syed Qutb menjelaskan dalam karangannya, “Pastikan Kemenangan Islam”, bahawa meskipun Umat Islam di seluruh dunia berhadapan dengan musuh-musuh yang zalim, tetapi Umat Islam berjuang tanpa senjata, kerana faktor kekuatannya tersembunyi di sebalik hakikatnya yang unggul, dalam kesederhanaan, kejelasan dan kelengkapannya, dalam keserasiannya dengan fitrah manusia dan dalam kesanggupannya memenuhi keperluannya yang hakiki.
Asy-syahid menjelaskan lagi, Kekuatan itu tersembunyi di sebalik penentangannya terhadap penghambaan diri terhadap manusia dan memilih penghambaan diri terhadap Allah, Tuhan sekalian hamba. Kekuatan itu terletak di sebalik dasar tidak menerima pemberian selain daripada Allah dan menolak sebarang tindakan untuk tunduk kepada sesiapa pun selain kepada-Nya. Kekuatan itu tersembunyi di sebalik tindakannya melindungi penganut-penganutnya dari ditimpa oleh sebarang pancaroba dan melindunginya dari sebarang kuasa yang tidak berperi kemanusiaan. Oleh itu ketewasan rohani tidak akan terjadi, selama Islam masih hidup dengan subur di dalam hati nurani manusia, walaupun pada beberapa ketika mereka mengalami kekalahan zahir. Oleh kerana musuh-musuh Islam menyedari ciri-ciri Islam yang istimewa itu maka mereka bangun menentangnya dengan beberapa taktik dan teknik kotor seperti penindasan, tipu helah dan penaklukan.
AWASI RINTANGAN PERJUANGAN
Rasulullah SAW telah meramalkan cabaran-cabaran dan dugaan-dugaan yang dihadapi para mukmin, da’i dan mujahidin di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Baginda bersabda :
الْمؤْمن بَيْنَ خَمْسَ شَدَائِدِ : (1) مُؤْمِنٍ يُحْسِدُهُ. (2) وَمُنَافِقٍ يُبْغِضُهُ. (3) وَكَافِرٍ يُقَاتِلُهُ. (4) وَشَيْطَانٍ يُضِلُّهُ. (5) وَنَفْسٍ تُنَازِعُهُ.
Orang mukmin sentiasa di ambang 5 dugaan yang susah :
1. Mukmin yang dengki kepadanya.
2. Munafiq yang benci kepadanya.
3. Kafir yang memeranginya.
4. Syaitan yang menyesatkannya.
5. Nafsu yang sentiasa bertarung untuk mengalahkannya.
(Hadith ini telah ditakhrij oleh Abu Bakar ibni Lal dari hadith Anas dalam tajuk “Akhlak Yang Luhur”).
Dalam hadith ini Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi wassalam telah menghuraikan tentang fitnah dan kesusahan yang boleh menimpa para da’i, supaya mereka berhati-hati dan bersiap sedia. Mereka hendaklah menyiapkan bekalan yang cukup. Kiranya dengan demikian, mereka dapat mengatasi segala halangan dan rintangan dengan selamat.
PRA SYARAT KEMENANGAN
Maka dalam hal ini, kita dituntut untuk memperkemaskan diri dan saf dalam menghadapi rintangan dan cabaran yang mendatang. Memperlengkapkan diri dan jemaah dengan pra-syarat kemenangan. Taqwa merupakan syarat utama dan pertama. Saidina Omar Al-Khattab RA pernah mengutuskan surat wasiat kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas RA:
فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة
“Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik–baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan.
Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar–benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh–musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh–musuh mereka.
Sesungguhnya orang–orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidaklah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki.
Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita.” – Saidina Omar Al-Khattab RA
Pra-syarat yang kedua ialah MUJAHADAH [ gigih dan bersungguh - sungguh ]. Tiada kemenangan yang boleh dicapai hanya dengan menggosok lampu ajaib aladin. Malah lampu itu pun tiada ditangan kita, apatah lagi aladin tidak wujud dikalangan kita. Ikhtiar adalah satu kewajipan dan kesungguhan adalah satu tuntutan. Jangan ada mereka yang hanya berpeluk tubuh dan membatu diri menyaksi keperluan yang perlu diselesai dan disempurnakan. Lebih malang kalau hanya banyak cakap, merungut di sana sini, menghabiskan biskut dan kopi di kedai makan dan di markaz-markaz operasi sahaja. Jika kita bersungguh–sungguh kita akan menang. من جد وجد
Pra-syarat yang ketiga, Tawakkal. [ bergantung kepada Allah swt ] Jangan putus harap kepada Allah swt biarpun kita menghadapi kesukaran dalam perjuangan ini. Sekalipun cabaran yang kita hadapi serta tekanan yang kita alami terlalu getir dan berat, setelah kita kerahkan segala upaya yang kita miliki, kita mesti yakin dan sandarkan keputusannya kepada Allah swt. Setelah gigih berdakwah berhadapan dengan 1001 ragam manusia jahiliyyah, Nabi saw pernah bersabda [ berdoa ] : اللهم قد بلغت فاشهد “Ya Allah! sesungguhnya telah aku sampaikan [ kebenaran ini ] maka saksikanlah!”
Pra syarat yang ke-empat, Munazzamah [ sistematik ] Jangan bekerja atau bertugas secara rawak atau rambang. Sebaliknya bertindak secara terancang dan berpandukan arahan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pimpinan. Sekalipun kita membawa kebenaran, namun tanpa rencana dan strategi yang terancang pasti sahaja kita boleh tewas . Inilah yang telah dipertegaskan oleh Saidina Ali KW.
الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام
Kebenaran yang diperjuangan tanpa sistematiknya akan dikalahkan oleh kebathilan yang diurus secara sistematik.
Aktiviti dan gerakkerja dalam tempoh yang terhad dan kemampuan kewangan yang terbatas ini mestilah dipastikan bahawa kita tidak membazir masa dan tenaga dengan aktiviti yang tidak menepati sasaran atau gerakkerja yang tidak membawa pulangan besar kepada perjuangan.
Pra Syarat yang kelima, Istiaanah bissobri was solah. [ mohon pertolongan dengan sabar dan doa ] Kemenangan yang kita dambakan ini adalah daripada Allah swt, justeru itu kepadaNya kita wajib memohon kemenangan ini. Allah swt mengajar kita agar memohon pertolongan dengan sabar dan solat.
1. Sabar
Sabar adalah kunci kejayaan dan kemenangan. Tapi ramai yang salah faham dengan menganggap sabar sebagai kalah dan penakut. Bukankah kita mahu Allah bersama kita dalam perjuangan ini? Maka Allah swt telah berfirman: إن الله مع الصابرين – Sesungguhnya Allah bersama dengan orang – orang yang sabar.
· Sabar dalam tindakan agar tidak gopoh dan melencong dari matlamat asal perjuangan kita.
· Sabar dalam gerakkerja dan tugas. Jangan merungut dan mempersoalkan arahan.
· Sabar, agar diri tidak terpengaruh dengan provokasi musuh.
· Sabar dari panahan fitnah perjuangan yang mungkin dari godaan manusia dan harta.
· Sabar, moga tidak terlalu excited dengan sorakan ramai dan laungan penyokong yang ramai.
· Sabar dari terjebak dan terjerumus ke dalam lembah maksiat dan mungkar.
· Sabar menerima arahan pimpinan biarpun berat dan sukar untuk dilaksanakan.
· Sabar dengan karenah ahli yang pelbagai ragam.
· Sabar jua dengan karenah pimpinan.
· Sabar untuk bertahan dengan akhlak mulia sekalipun berdepan dengan penghinaan musuh.
· Dan 1001 keadaan yang memerlukan kita sabar.
Namun bukanlah makna sabar sehingga membenarkan musuh memijak kepala kita . Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
Wahai manusia! Jangan sekali–kali kamu bercita–cita mencari musuh sebaliknya mohonlah kesejahteraan daripada Allah swt. Andai bertemu jua dengan musuh, bersabarlah! Namun begitu, ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang.
2. Solat
Membawa maksud munajat dengan memanjatkan doa kepada Allah swt agar Allah memberikan kekuatan kepada kita serta kemenangan yang telah dijanjikan. Serentak itu , agar Allah mengurniakan petunjukNya kepada ummat yang lalai dan leka dan melembutkan hati mereka untuk menerima mesej perjuangan kita.
Siang kita mengurus organisasi, mengatur strategi dan menggerakkan jentera serta material bagi memburu kemenangan, manakala sebelah malamnya pula kita bermunajat mengadap Allah penuh khusyu’ memohon petunjuk dan kekuatan diri serta memohon nusrah dan maunah buat perjuangan suci ini. Marilah kita sama-sama beramal dengan kewajiban ini dan menjadikan ia sebagai darah daging dalam segenap sudut kehidupan kita.
Prasyarat Ke-enam, Wehdatul Fikr Wal Amal. Gerak kerja yang dilakukan secara kolektif mempunyai lebih kekuatan. Jemaah yang hebat bukanlah jemaah yang bergantung kepada kekuatan individu, sebaliknya gabung jalin kekuatan yang lahir daripada keserasian kefahaman dan pemikiran akan membuahkan impak yang lebih padu dan berkesan. Bahkan keserasian pemikiran ini mengelakkan kita tersasar dari matlamat dan cita-cita yang digariskan bersama. Saf yang kita sama-sama dokongi ini, kitalah yang bakal menggerakkannya bersama-sama dengan penuh semangat kerjasama dan bersatu dari segi kefahaman dan tindakan. Firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan ( musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan(berpecah); kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Surah Al-Anfal, 8 : 45 – 46)
KUKUHKAN IKATAN SEMARAKKAN PERJUANGAN
Marilah dalam kesempatan dan ruang yang ada ini kita menginsafi diri kita adakah kita benar-benar layak digelar HizbuLlah? Layakkah kita menerima bantuan dan pertolongan daripada Allah sekiranya dalam hati dan jiwa kita masih belum subur dengan cinta kita kepada Allah dan Rasul? Ayuh kita perkemaskan dan persiapkan jemaah dan diri kita dengan segala persiapan dan kelengkapan yang ada untuk menghadapi peperangan yang bakal menjelang dan sama-sama kita bertekad untuk mencapai kemenangan kerana dan ke arahNya.
Setiap komponen dan sayap dalam saf ini harus memainkan peranan dengan berkesan. Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Urusan Ulama’, Jabatan Amal, Jentera Pilihanraya Kawasan, Majlis Tindakan DUN, Lajnah-lajnah, dan semua Unit Peti Undi mesti menjaga dan memantapkan bahagian masing-masing. Semua bahagian di semua peringkat, malah setiap individu dalam jemaah adalah penting dan mempunyai manfaat tertentu yang perlu dipergunakan sebaiknya. Sabda RasuluLlah:
“Kamu adalah penjuru dari penjuru-penjuru Islam, maka janganlah biarkan Islam diserang dari penjuru kamu,”
Semoga Allah Ta’ala terus melimpahkan taufiq dan hidayahNya untuk terus membimbing jiwa dan hati kita untuk terus bersatu memdokong agamaNya, menyampaikan risalah yang dibawa oleh RasulNya, dan semoga Allah Ta’ala mengurniakan kepada kita kemenangan yang dijanjikan olehNya.
No comments:
Post a Comment